"Tak Sabar Nak Pakaikan Baju Princess" - Fizi Ali Bakal Timang Cahaya Mata Perempuan

Hiburan

Pasangan pelakon Fizi Ali dan Shakilla Khoriri mendedahkan bakal menimang cahaya mata perempuan tidak lama lagi.

Berkongsi khabar gembira itu, kata Fizi, dia dan Shakilla bersyukur apabila mendapat tahu jantina bayi yang sedang dikandungkan.

"Saya memang nak baby girl pun, sebab nak ikat rambut dia, nak pakaikan dia skirt, nak beli baju princess. Mesti comel kan.

"Selalunya kebanyakan lelaki nak anak lelaki tetapi saya memang inginkan anak perempuan," katanya kepada Gempak.

Tambah Fizi, 29, kandungan bayi perempuannya kini kembali normal selepas berada dalam keadaan songsang baru-baru ini.

"Sekarang sudah masuk usia enam bulan, alhamdulillah selepas beberapa minggu bayi berada dalam posisi yang betul.

"Doktor kata semua okey. Cuma kandungan dalam perut tu aktif betul... Ikut mak dia barangkali.

"Best pula rasa bila pegang perut bayi bergerak-gerak. Tak percaya pula dah nak jad bapa," ujar Fizi lagi.

Sementara itu, menjawab mengenai berat badannya yang bertambah mendadak, penyampai radio Suria itu memberitahu kini dalam proses berdiet.

"Dalam beberapa bulan lepas berat badan saya nak sampai 83 kilogram, sekarang selepas diet turun balik jadi 76 kilogram.

"Insya-Allah, azam tahun baru saya untuk mendapat berat badan ideal 70 kilogram," katanya.
 

Fizi dan Shakilla telah mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018.

Artikel Berkaitan