Saya memang peminat setia filem-filem tempatan. Tak kiralah filem tu keluaran Astro mahupun mana-mana produksi lain. Asalkan ada pelakon yang saya minati, atau pengarah yang saya gemari, saya pasti akan menonton.



Saya jarang mahu mendengar pendapat orang kerana saya ingin melihat sendiri ceritanya. Bak kata orang putih, “judge it for myself!” Contoh terbaik kita filem 'Lelaki Harapan Dunia' ditayangkan. Banyak pendapat yang penuh kontroversi, namun saya lihat filem tersebut satu filem yang sangat bagus.



Berbalik kepada Polis Evo 2, selepas beberapa tahun menonton Polis Evo yang pertama, saya sangat teruja. Kenapa? Kerana saya sendiri ketika bercuti ke Kuantan 'mencuri-curi' melawat tempat mereka membuat penggambaran. Seriuslah cakap, memang ternganga mulut tengok set penggambaran yang cukup besar. Bayangkan mereka membina kembali sebuah perkampungan dengan rumah-rumah kampung yang memang boleh diduduki. Itu membuatkan saya lagi tidak sabar.



Sebelum Polis Evo 2 ditayangkan pada umum, sudah kecoh dengan kontroversi kononnya filem tersebut mencemarkan imej Islam. Saya jadi agak pelik bagaimana beberapa kerat orang di luar sana boleh membuat andaian tanpa langsung menonton cerita tersebut sepenuhnya.



To be honest, ketika kali pertama melangkah ke pawagam untuk menonton Polis Evo 2, sedikit sebanyak ianya mengganggu fikiran saya. Betul ke? Persoalan itu bermain-main di fikiran. Tetapi bila keluar dari panggung, saya menarik nafas lega. Jauh beza antara ajaran Islam dan ajaran sesat. Hanya kerana dialognya Melayu, pakaiannya seolah-olah seperti orang Islam, tetapi ajarannya tiada langsung berkait dengan agama Islam. Semuanya satu kesesatan!



Malangnya stigma yang tersebar itu melekat juga pada segelintir orang. Kali kedua saya menonton Polis Evo 2 adalah bersama teman-teman. Lima orang kesemuanya. Saya tersenyum kerana semuanya memberikan pendapat yang sama. Malah ada yang mengatakan walaupun ceritanya hanya cerita rekaan, namun ianya seperti sebuah cerita realiti. Malah ianya memberikan kesedaran bahawa ada manusia boleh pakai apa sahaja demi mencapai matlamat peribadi.



Kali ketiga adalah ketika sambutan hari jadi saya yang lalu. Saya ingin membawa seluruh keluarga menonton filem Polis Evo 2. Semua orang seronok dan bersorak, tetapi ayah saya hanya mendiamkan diri.

“Daddy dengan Mommy tak pergi lah. Ada orang hantar mesej dalam group Whatsapp, filem ni memburukkan reputasi agama Islam.” kata Ayah saya.



Saya hanya berdiam, tidak mahu memberikan sebarang hujah. Lalu selepas makan tengahari, saya hantar mereka pulang dan bawa adik beradik untuk menonton filem Polis Evo 2. Tamat menonton dan semuanya teruja, saya keluar dan membeli tiga lagi tiket untuk tayangan pukul 9:30 malam, selepas solat Isyak.



Sampai di rumah, saya cuba memujuk. Tujuan saya hanya satu. Supaya mereka menonton dulu sebelum mempercayai sebarang mesej yang disampaikan oleh orang yang tidak pernah menonton filem Polis Evo 2.

“Mufti pun dah tengok, dan dia sendiri cakap tidak ada unsur-unsur negatif tentang Islam dalam cerita ni,” pujuk saya menggunakan imuniti terakhir.



“Kita pergi tengoklah, lagi pun nak tengok jugak Ayie berlakon,” kata Ibu saya akhirnya seperti mengalah dan memujuk ayah saya.

“Ishhh, nanti apa pulak orang surau kata. Dah tua-tua masih tengok wayang.' kata Ayah saya.

“Tapi Daddy dengan Mommy pun selalu jugak tengok drama kat TV, tak ada bezanya. Cuma nak buktikan pada Daddy cerita ni bukan menghina Islam,” pujuk saya lagi.



Dalam perjalanan ke IOI Mall selepas solat Isyak, memang hati saya berdebar lain macam. Banyak janji yang saya buat, termasuklah tidak akan menulis tentang Polis Evo 2 kalau ayah saya berpendapat ianya mencemarkan agama Islam. Lagi satu, bimbang juga bila orang yang ada masalah jantung ni menonton filem yang penuh dengan aksi serta letupan dan kejutan.



Dalam perjalanan pulang selepas tamat Polis Evo 2, semuanya berdiam diri di dalam kereta. Saya tahu ibu saya ada ketika mengalirkan air mata semasa menonton, tetapi saya tidak dapat melihat reaksi ayah saya di dalam panggung kerana bimbang mengganggu konsentrasi beliau. Tidak tahan lagi dengan semuanya berdiam diri, saya memulakan perbualan.



“So, apa pendapat Daddy dengan cerita Polis Evo 2? tanya saya perlahan.

“Bagus lakonan Ayie tapi tu lah, sikit sangat!” jawap ibu saya mencelah.

Lama juga ayah saya berdiam. Kemudian dia sedikit berdehem seolah-olah untuk melegakan tekaknya. Akhirnya dia bersuara.



“Bagus cerita dia. Memang bukan mencemarkan imej agama Islam pun, sebab itu memang ajaran sesat! Kita hidup akhir zaman ni, memang banyak yang guna agama untuk menyeleweng sebab kepentingan peribadi. Tapi cerita tadi tu memang pasal ajaran sesat. Eh, bawak laju sikitlah, Daddy nak balik tengok bola pulak ni,” kata ayah saya mengubah topik perbualan.

Saya tersenyum puas.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara