"Orang Tak Percaya Dengan Bakat Saya..." - Jasmine Suraya

Hiburan

Mula bertapak dalam bidang seni menerusi bidang pengacaraan, Jasmine Suraya Chin kini aktif dalam bidang lakonan.

Mengakui dirinya amat menggemari suasana di set penggambaran filem atau drama, Jasmine mengambil masa untuk memahat nama dalam industri hiburan.

"Saya bermula sebagai pengacara dan pernah beraksi di padang untuk program yang melibatkan sukan bola sepak. Namun begitu, sejujurnya saya katakan minat saya lebih terarah kepada bidang lakonan.

"Bagi saya, pada awal penglibatan, orang tak percayakan bakat saya... Mungkin juga kerana cara pertuturan saya yang agak pelat kerana saya merupakan gadis berbangsa Cina yang berasal dari Sarawak.

"Saya akui, industri ini agak sukar untuk ditembusi. Pada mulanya, saya rasakan susah untuk mendapat peluang menyerlahkan bakat serta keadaan saya sendiri yang kurang yakin.

"Lama kelamaan, saya banyak belajar. Saya juga tidak mudah putus asa untuk terus mencuba. Bagi saya, setiap hari merupakan pengalaman yang berharga untuk saya pelajari," katanya.

Pemergian bapa Jasminejuga menjadi salah satu sebab untuk dia berusaha dengan lebih gigih.

"Satu ketika dulu, pada awal penglibatan saya dalam lakonan, bapa saya meninggal dunia. Perkara itu sedikit sebanyak menjadi cabaran untuk saya bergerak ke hadapan.

"Sebelum meninggal dunia, bapa yang membiayai keperluan saya setiap bulan di kota Kuala Lumpur. Apabila dia tiada, saya terfikir apa yang saya perlu buat sekarang? Saya rasa sedih dan kehilangan.

"Secara peribadi, saya tak rasa apa yang saya ada sekarang sudah mencukupi. Mungkin ada yang sudah mengenali saya, tetapi saya masih rasa apa yang saya perolehi sekarang sama sahaja seperti dahulu. Saya masih berusaha untuk membuktikan kepada semua orang yang saya boleh melakukannya.

"Saya juga masih bergelut dengan diri sendiri dan berusaha meyakinkan perasaan sendiri. Ada banyak perkara yang perlu saya buktikan dan saya tidak akan berhenti mencuba," katanya.

Jasmine ditemui di Malam Penghargaan PASKAL The Movie yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mula ditayangkan pada 27 September lalu, PASKAL The Movie diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw berjaya meraih kutipan sebanyak RM30 juta.

PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jom saksikan PASKAL The Movie yang sudah mula ditayangkan di Astro First (saluran 480).

Artikel Berkaitan