Setelah sekian lama melakonkan watak genre komedi dan lawak, aktres Didie Alias bakal membawakan watak serius dalam telefilem Syahadah Yang Hilang yang disiarkan menerusi slot Karya 12.

Menerusi karya arahan Mohd Shafiq yang merupakan protégé kepada sutradara Ghaz Abu Bakar, telefilem Syahadah Yang Hilang berkisarkan mengenai seorang wanita tua yang merupakan bekas penari istana dan wanita itu juga turut membela saka.

“Didie memainkan watak wanita tua tersebut. Saya menggemari karya ini kerana ianya berdasarkan kisah keluarga dan waris saka yang diceritakan dalam cara yang tersendiri,” kata Ghaz.

Memberi tunjuk ajar terhadap Shafiq dalam bidang pengarahan, Ghaz menggemari semangat yang ditunjukkan oleh mahasiswa Universiti Teknologi MARA ini dalam bidang pengarahan.

“Ketika dia membentangkan idea naskah Syahadah Yang Hilang kepada saya, saya sudah mula tertarik kerana cara yang Shafiq tunjukkan sangat profesional. Saya menyukai idea yang dia sampaikan sehingga saya sendiri rasa teringin untuk mengarahkannya,” katanya lagi.

Mengangkat genre drama thriller seram, Syahadah Yang Hilang membariskan Didie Alias, Lisa Surihani, Syafiq Kyle, Julia Farhana, Esma Daniel dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan telefilem Syahadah Yang Hilang dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #SyahadahYangHilang untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.