Seringkali kita lihat produk-produk kecantikan mempromosikan tentang kecantikan seseorang wanita itu adalah terletak pada warna kulitnya.

Semakin putih wanita itu, semakin cantik dia di mata masyarakat.

Bagi model, pelakon dan Finalis Dewi Remaja Haneesya Hanee, itu antara stigma yang disuapkan kepada masyarakat yang menjadi cabaran kepadanya ketika mula-mula melangkah masuk ke bidang streotaip itu kerana fizikalnya yang berkulit gelap.

Selama tiga tahun menceburi bidang peragaan dan lakonan, Haneesya mengakui itu lumrah yang dihadapinya, bukan sahaja dari pandangan malah hampir setiap hari dia menerima mesej kecaman warna kulit.

Baru-baru ini pelakon drama popular ‘Cik Reen Mr Ngok Ngek’ ini didatangi lagi mesej berbaur hinaan dari seorang remaja wanita belasan tahun.

“Gadis yang DM Hanee itu masih budak dan dia pun saya tengok bersukan serta berkulit gelap. Saya sedih dia mengeluarkan kata kata seperti ‘Hitam macam orang Afrika’, dia seorang wanita dan dia mengutuk wanita yang lain pada umur yang masih muda,” jelasnya.

Bagi Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, penghinaan yang diterimanya bermaksud mereka juga menghina ciptaan Allah.

Tidak mudah kecewa, Hanee menggunakan kata-kata itu sebagai satu semangat untuk dia mencapai apa dicita-citakan.

Dalam masa yang sama, Hanee yang baru berusia 18 tahun juga membawa solidariti kepada wanita-wanita yang ‘dibuli’ stigma masyarakat di Twitternya.

Jelas Hanee, itu antara usaha yang dia lakukan demi memberi motivasi kepada ramai wanita untuk tidak terus berasa murung sebaliknya bangkit dan yakin bahawa apa pun warna kulit dan paras rupa punya kecantikannya yang tersendiri.

Aksi Hanee dapat disaksikan dalam program Dewi Remaja 2018 / 2019 bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (104) & Ria HD (123) bermula 25 November.

Sumber: Astro Awani