"2019 Tahun Sibuk Bagi Saya" - Neelofa

Hiburan

Pelakon dan pengacara popular, Noor Neelofa Mohd Noor akan terus mengekalkan momentum kerjayanya di tahun 2019.

Bakal sibuk dengan pelbagai rencana seni dan perniagaan, bintang filem Pilot Cafe ini bakal menandatangani kontrak dengan dua buah agensi di United Kingdom dan Perancis.

"Dalam usaha mengembangkan karier dan perniagaan saya di benua Eropah, dua agensi terbabit bakal mewakili saya bagi memperluaskan lagi nama dalam bidang fesyen dan kecantikan.

"Selain itu, mereka bakal mengembangkan rangkaiannya tudung saya, Naelofar Hijab. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, Selasa depan saya akan berangkat ke sana untuk menandatangani kontrak. 2019 bakal menjadi tahun yang sibuk bagi saya," katanya.

Tambah pengacara MeleTOP ini lagi, dia memang memasang angan-angan untuk menembusi pasaran Eropah.

"Saya memang mempunyai impian untuk memperluaskan lagi empayar perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi. Saya ingin mencabar diri sendiri dan tidak mahu berada di zon selesa.

"Peluang yang saya dapat ini merupakan satu permulaan yang baik untuk saya terokai pasaran di sana," katanya lagi.

Artikel Berkaitan