Penyanyi rock legenda, Awie akur dengan penangguhan Konsert Dinner GIG 2018 yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini (esok).

Kata Awie, 50, dia dimaklumkan tentang perkara terbabit apabila tiba di tanah air selepas mengerjakan umrah minggu lalu.

"Ketika di sana saya tidak diberitahu, balik-balik semangatlah nak pergi show.

"Apabila nak pergi praktice, barulah dimaklumkan konsert tunda.

"Saya okey saja, tak mengapa. Mungkin akan diadakan pada pertengahan Januari nanti. Harap-harap tiada masalah," katanya kepada Gempak.

Awie yang ditemui pada tayangan perdana filem televisyen Berani Jadi Papa di TGV One Utama semalam berpendapat bulan Disember barangkali bukan waktu sesuai untuk sesebuah konsert berbayar.

"Mungkin terlalu banyak persembahan percuma pada bulan Disember dan banyak juga aktiviti luar dengan anak-anak memandangkan sekarang musim cuti persekolahan.

"Mungkin juga ramai yang keluar bercuti dengan keluarga, jadi kalau buat persembahan berbayar pada bulan Disember tidak berbaloi," tambahnya.

Awal minggu ini, penganjur konsert Dinner GIG 2018 memohon maaf ekoran penangguhan acara terbabit ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dinner GIG merupakan acara anjuran FUFC The Fighters Sdn. Bhd. untuk mengumpul dana bagi perbelanjaan Kelab Bola Sepak Felda United.

Konsert itu turut menampilan Ratu Rock Ella yang akan berkongsi pentas bersama Awie.