Persoalan yang sering ditanya, adakah semakin ramai artis tempatan melakukan pembedahan kosmetik? Kalau sekadar melalui gambar-gambar di Instagram, mungkin mereka boleh mengatakan ianya adalah teknik editing dan sebagainya, namun ada di antara mereka yang ketika ditemui berdepan turut kelihatan perubahan pada wajah mereka.

Adakah pembedahan kosmetik ini sudah diterima secara meluas di kalangan selebriti-selebriti tempatan atau hanya segelintir yang obses dengan kecantikan dan ketampanan wajah mereka demi kesinambungan kerjaya seni?



Menurut Akim Ahmad, pembedahan kosmetik ini sudah menjadi satu industri yang semakin terbuka, berbanding dahulu di mana selebriti lebih berahsia apabila membuat pembedahan kosmetik.

“Pada Saya pembedahan plastik ini tak salah kalau mengubah untuk kebaikan. Kalau ada untuk tujuan perubatan tak ada salahnya kerana itu ianya positif untuk memberikan keyakinan kepada diri seseorang selebriti atau orang kebanyakan,” kata Akim yang percaya menjaga kecantikan itu penting.

“Kadang-kadang keadaan cuaca memerlukan untuk kita menjaga kulit kita. Sebagai seorang artis, diri kita adalah produk jadi kita perlu menjaga diri kita sebaik mungkin.

Apabila ditanya sama ada beliau sanggup melakukan pembedahan kosmetik, Akim menggelengkan kepala. Beliau memilih untuk menggunakan produk kesihatan dan kecantikan daripada melakukan pembedahan kosmetik.



Zulin Aziz berpedapat itu adalah hak masing-masing. Menurut beliau, sesetengah selebriti mungkin obses dengan kecantikan, dan melihat kepada situasi pembedahan kosmetik oleh selebriti-selebriti luar negara mungkin memberikan pengaruh kepada sesetengah selebriti tempatan.

“Saya lebih percaya kepada semula jadi kerana kita ada teknik solekan dan selagi ada solekan yang bagus, tidak menjadi masalah kepada saya. Tapi sekiranya ada masalah-masalah tertentu mungkin tidak mengapa untuk buat pembedahan kosmetik,” kata Zulin.



Apabila ditanya lebih lanjut, Zulin menambah mungkin jika berlaku sesuatu ketika penggambaran, contohnya hidung patah akibat lakonan yang tidak disengajakan, beliau tidak menolak untuk melakukan pembedahan memperbetulkan hidungnya.

“Tapi jangan pula daripada hidung biasa, kemudian jadi mancung luar biasa pula selepas pembedahan,” seloroh Zulin.

“Dan kalau ada pembendahan yang saya nak buat atau terpaksa buat pun, mungkin untuk membuang lemak,” kata Zulin sambil ketawa.



Menurut Fakrul UNIC, untuk selebriti beragama Islam, mengubah ciptaan Allah swt sewenang-wenangnya adalah dilarang kecuali jika ada mengalami kecacatan, maka membuat pembedahan kosmetik untuk diubah supaya lebih elok dan lebih cantik, itu dimasukkan dalam kategori yang dimaafkan



“Tapi kalau kita dah sempurna pun dengan ciptaan-Nya, tapi nak tambah bagi lagi cantik, bagi lagi tampan, itu adalah di larang. Jadi bergantung kepada tujuan seseorang itulah, dan kita lebih tahu yang mana lebih baik dan lebih buruk,” kata Fakrul.



Untuk Zarul Umbrella pula, itu adalah hak peribadi masing-masing. Menurut beliau lagi, malah dalam Islam sudah menggariskan panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh

“Cuma mungkin jangan jadi hamba pembedahan kosmetik. Kalau nak buat tu atas risiko dan tanggungjawab sendiri.



“Saya tak akan buat pembendahan kosmetik walaupun ada orang yang memberi cadangan untuk saya lakukan. I prefer to grow old gracefully,” ujar Zarul.

Begitulah pendapat beberapa orang selebriti tempatan tentang situasi pembedahan kosmetik di kalangan anak seni kita. Anda rasa siapa di antara selebriti tempatan yang melakukan pembedahan kosmetik?