Penyanyi popular, Ziana Zain menjelaskan dia tidak dapat memberi fokus sepenuhnya dalam bidang nyanyian pada tahun ini memandangkan dia telah berhadapan dengan kes penceraian dan hal lain yang berkaitan.

Namun menurut Ziana, dia akan menghabiskan tahun ini dengan memenuhi undangan persembahan di majlis-majlis korporat tempatan.

"Saya memang tak dapat nak fokus sepenuhnya dalam bidang nyanyian tahun ini kerana seperti semua sudah tahu, saya telah berhadapan dengan kes penceraian.

"Namun sepanjang bulan Disember ini, saya akan memenuhi segala undangan untuk menyanyi di majlis-majlis korporat.

"Insya-Allah, hopefully by next year everything goes well, kalau ada yang bertanya bila saya mahu kembali aktif sepenuhnya, ia mungkin akan berlaku pada tahun hadapan," ujar Ziana.

Ziana berkata demikian ketika ditemui di Nona Superwoman Award 2018 yang bertempat di Sime Darby Convention Centre pada malam tadi.

Dalam anugerah tersebut, Ziana telah menerima trofi bagi kategori Nona Independent Woman Award 2018 sebagai tanda penghargaan kepada kekuatannya menjadi seorang wanita yang tabah dan berdikari.