Selepas memegang gelaran Dewi Remaja edisi 2009 / 2010, nama Noor Neelofa Mohd Noor terus mengharum di persada seni.

Usai program terbabit, Neelofa terus mengorak langkah kemas dalam industri hiburan dan turut berjaya dalam bidang perniagaan.

Mengakui program Dewi Remaja sangat dekat di hatinya, Neelofa sempat menitipkan pesanan terhadap peserta Dewi Remaja edisi terkini, 2018 / 2019.

"Saya pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu. Baru-baru ini, saya telah berjumpa dengan semua peserta edisi terbaru Dewi Remaja ketika mereka berkunjung ke program MeleTOP.

"Saya boleh nampak, ada antara mereka yang mempunyai aura dan 'x factor' yang dicari untuk merebut gelaran Dewi Remaja.

"Ada peserta yang mula menonjolkan ciri-ciri Dewi Remaja yang sebenar. Tetapi itu semua berbalik kepada diri mereka sendiri.

"Mereka harus tahu bagaimana caranya untuk menjenamakan diri. Apa yang penting, mereka kena menjadi diri sendiri dan menanam keyakinan yang mendalam," kata Neelofa.

Tambah pelakon drama bersiri Red Velvet ini, dia menghadapi cabaran yang sama ketika mula menyertai Dewi Remaja satu ketika dahulu.

"Mereka harus 'stay true' dengan diri sendiri. Sayangi diri mereka terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai perkara lain.

"Sejujurnya, apa yang saya hadapi dahulu ketika menyertai Dewi Remaja berkaitan dengan perkara yang saya sebutkan tadi. Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan," katanya lagi.

Diacarakan oleh Scha Alyahya, Dewi Remaja 2018 / 2019 bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (104) & Ria HD (123) bermula 25 November.