Pengurus kepada Fitri Haris memberitahu tidak jelas mengapa penyanyi tersebut dilihat tidak menghormati bekas kumpulannya, UNIC.

Pengurusnya yang dikenali sebagai El berkata mereka sebelum ini berjumpa hanya membincangkan identiti tetapi tidak menyentuh mengenai lagu-lagu UNIC.

"Bagi pihak pengurusan Fitri Haris, saya minta maaf sebab ketika ini Fitri terpaksa mengambil langkah untuk berdiam diri.

"Mengenai perbincangan dua bulan lalu, isu yang dibincangkan adalah lebih kepada perbincangan identiti Fitri Haris.

"Dalam masa yang sama pihak di sana juga tidak meletakkan sebarang syarat berkenaan lagu-lagu UNIC yang tidak boleh dinyanyikan,” jelas El.

[BACA: "Di Malaysia Ni Ada Dua UNIC Ke? Please Move On..." - UNIC Kecewa Fitri Haris Masih Nyanyikan Lagu Mereka]

UNIC kini dianggotai oleh tiga orang ahli iaitu Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.

Sementara itu, El memberitahu Fitri terpaksa membatalkan segala projek berkaitan UNIC demi menghormati kumpulan nasyid tersebut.

"Bahkan projek berkaitan UNIC sekali pun terpaksa dibatalkan demi kerana menghormati dan untuk mencari identiti sendiri sehingga beliau terpaksa pakai kain pelikat untuk menampilkan identitinya.

"Andai Fitri tidak menghormati UNIC, di bahagian mana? Malah Fitri juga tidak menumpang populariti sebagaimana yang didakwa," tegas El.

Terdahulu, kumpulan nasyid UNIC kesal dengan tindakan bekas ahli mereka, Fitri yang masih menyanyikan lagu kumpulan itu walaupun telah bergerak secara solo.

Sumber: Sinar Harian