Sebagai tanda penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas sokongan berterusan dalam menjayakan PASKAL The Movie, pelabur filem ini memberikan sumbangan sebanyak RM100,000 yang disalurkan kepada Tabung Kebajikan TLDM.

Sumbangan itu diserahkan bersempena Malam Penghargaan PASKAL yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur malam tadi.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Tetamu kehormat yang turut sama hadir di majlis terbabit ialah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany serta Panglima Paskal, Laksamana Pertama Anuar Alias.

Malam penghargaan #PASKALTheMovie di Majestic Hotel KL! #KitaSentiasaTerbaik

A post shared by GSC Cinemas (@gscinemas) on

Malam penghargaan #PASKALTheMovie di Majestic Hotel malam ni! #KitaSentiasaTerbaik

A post shared by GSC Cinemas (@gscinemas) on


"Sumbangan ini disalurkan sebagai tanda terima kasih PASKAL The Movie kepada TLDM yang memberikan sokongan penuh sepanjang penggambaran filem ini dijalankan.

“Ia juga sebagai satu tanda penghargaan kerana memberikan kepercayaan kepada kami menghasilkan filem penuh aksi ini.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan kebajikan anggota TLDM serta keluarga mereka yang memerlukan,” kata pengarah filem ini, Adrian Teh.

Mula ditayangkan pada 27 September lalu, PASKAL The Movie diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.

PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.