Adik kepada pelakon Syatilla Melvin, Syifa Melvin, 24, mendedahkan dia tertarik untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan sejak mula berjinak dengan kamera serta menjadi pengacara.

Menurut Syifa, dia tidak menidakkan penglibatan dirinya disebabkan tempias Syatilla dan suaminya, Shaheizy Sam yang sudah lama melibatkan diri dalam bidang lakonan.

"Sebelum ini, saya tak ingin berlakon namun sejak berjinak dengan kamera serta melibatkan diri dalam bidang pengacaraan secara semulajadi timbul perasaan minat.

"Malah, kakak dan abang ipar saya seorang pelakon, tempias itu turut kena pada diri ini. Insya-Allah kalau ada tawaran, saya akan berlakon lagi selepas ini," katanya.

Syifa ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu iaitu Sunsilk #SisCuba di Balai Berita NSTP Bangsar semalam.

Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin berkata, walaupun ini merupakan pengalaman pertamanya berlakon, namun segalanya berjalan dengan lancar.

"Pada mulanya saya berasa takut dan gementar untuk masuk ke set penggambaran.

"Namun, ramai yang membantu ketika penggambaran, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada Gempak.