Penyanyi dan bintang program Big Stage, Syafiq Farhain terkejut dengan berita seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang didakwa diserang perusuh pada awal pagi Selasa.

Ketika dihubungi Gempak, Syafiq yang juga merupakan seorang anggota bomba mengatakan dia benar-benar terkilan apabila mendengar dakwaan terbabit.

"Saya memang terkejut dan hairan kerana orang yang tidak bersalah mengalami nasib sebegitu.

"Anggota bomba datang untuk menyelamat dan memadamkan api, akhirnya terdengar pula cerita mangsa diserang dan keadaannya menjadi kritikal.

"Jentera anggota bomba tersebut turut dirosakkan, saya rasa perkara ini tidak pernah berlaku kepada mana-mana anggota bomba lain sebelum ini," ujar Syafiq kepada Gempak.



Muhammad Adib didakwa diserang perusuh ketika bertugas berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Anggota terbabit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Subang Jaya dan terkini, selepas menunjukkan perkembangan positif, dia telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima lawatan selanjutnya.

Terbaru, menerusi laporan Astro Awani, terdapat kemungkinan yang Muhammad Adib dilanggar oleh jentera bomba sedang mengundur dan bukannya diserang oleh perusuh.

BACA: Muhammad Adib Dilanggar Jentera Bomba Sedang Mengundur, Bukan Diserang 'Perusuh'?