Juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Noryn Aziz tidak menolak kemungkinan untuk terlibat dalam bidang lakonan jika diberikan peluang.

Sebelum ini, juara GV2, Siti Nordiana turut aktif bergelar pelakon selepas tamatnya program realiti terbabit.

"Jika ada peluang, apa salahnya. Sejujurnya, saya merupakan seorang insan yang suka mencuba dan menerima tawaran baru.

"Tiada salahnya kita belajar perkara baru. Tetapi, ingin saya tegaskan yang bidang nyanyian tetap akan menjadi cinta hati pertama.

"Saya akan mencuba mengeluarkan single terbaru untuk menambat hati peminat yang tak berhenti menyokong perjalanan kerjaya seni saya, terutamanya di GV5," katanya.

Noryn juga tidak teragak-agak untuk mendaftar ke kelas lakonan sekiranya mendapat tawaran yang bakal menyerlahkan portfolionya sebagai anak seni.

"Seperti contoh, saya akan berguru dengan Kak Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) kalau tawaran lakonan itu benar-benar menarik.

"Jika ada karakter yang sesuai, apa salahnya. Saya memang suka belajar dan mencuba sesuatu yang belum pernah saya kerjakan," katanya lagi.

Di konsert akhir GV5, Noryn berjaya menewaskan lima finalis lain dan merangkul gelaran juara.

Foto: Instagram Hatta Dolmat