Selepas melakukan rawatan memperbetulkan struktur gigi, kini penampilan penyanyi baru Khai Bahar pula menjadi perhatian.

Malah pengikut Instagramnya juga sudah mula perasan apabila Khai sering dilihat memakai jaket berwarna hitam dan topi ketika membuat persembahan atau menghadiri sesuatu majlis.



Perkara itu menyebabkan ada netizen yang kurang senang melihat cara pemakaiannya dan menasihati penyanyi berusia 22 tahun itu untuk tidak kelihatan terlalu ‘simple’.

Bagaimanapun, Khai atau nama sebenarnya Muhamad Khairul Baharudin ketika ditemui Astro Gempak berkata dia tidak kisah untuk berubah dari segi penampilan namun perubahan itu perlulah dilakukan secara perlahan-lahan.

“Selekeh? Tak kisahlah apa orang nak kata, yang penting saya tak kacau orang. Ini adalah diri saya dan saya sukakan sesuatu yang ‘simple’.

“Saya sedar bila orang dah mula kenal, apa saja perkara yang kita buat pasti jadi perhatian termasuklah pakaian.

“Saya tahu mereka nak saya nampak kemas dan saya faham komen-komen itu semua untuk kebaikan saya.

“Sebenarnya saya tak kisah untuk memperbetulkan gaya berpakaian cuma saya rasa perkara itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik.

“Insha Allah saya akan perbaiki penampilan saya di masa akan datang, tak nak lah nanti orang nampak saya terlalu banyak berubah. Kalau boleh saya nak kekalkan identiti sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Khai juga mengakui semakin banyak mendapat tawaran nyanyian dan jadualnya juga kini semakin padat.

“Setakat ini banyak juga tawaran yang saya terima untuk buat persembahan dan jadual saya juga semakin padat.

“Saya pun tak sangka video nyanyian saya bersama Kak Nana (Siti Nordiana) jadi viral dan membuatkan nama saya semakin dikenali.

“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya. Rezeki tu tuhan yang bagi dan saya rasa sangat bersyukur,” ujarnya.

Sebelum ini, video Khai menyanyikan lagu Memori Berkasih secara duet dengan penyanyi Siti Nordiana menjadi viral di laman sosial dan Khai kini telah berjaya mengikat kontrak nyanyian bersama NAR Records.