Penyanyi Siti Nordiana atau Nana bersyukur kerana lagu duetnya bersama Jaclyn Victor, Nisan Cinta berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Setelah 18 tahun melibatkan diri dalam dunia seni, lagu Nisan Cinta merupakan lagu pertama nyanyian Nana yang layak ke pentas berprestij itu.

"Mula-mula saya dan Jaclyn ingatkan lagu kami gagal mara ke AJL33 kerana banyak lagu sudah mara ke peringkat akhir.

"Akhirnya, lagu Nisan Cinta diumumkan sebagai lagu terakhir yang layak ke pentas AJL33. Saya dan Jaclyn rasa sangat bersyukur.

"Jika dahulu, saya hanya menggantikan Syura, kini hasrat saya tercapai untuk bertanding dengan lagu sendiri di AJL... Alhamdulillah," kata Nana.

Nana pernah beraksi di peringkat akhir AJL21 pada tahun 2007 menggantikan Syura mendendangkan lagu Candak.

Ketika itu, Nana menggantikan Syura yang sedang sarat hamil anak pertama.

Mengulas mengenai konsep persembahan, Nana belum lagi memikirkan mengenai perkara terbabit.

"Saya dan Jaclyn belum lagi berbincang tetapi apa yang pasti, kami akan membuat latihan bersama-sama. Saya juga bakal tamat penggambaran drama bersiri dan boleh menumpukan masa yang ada untuk menjalani sesi latihan.

"Selain itu, saya juga terbabit dengan Mentor 7. Saya turut boleh berlatih setiap kali protege saya berlatih," seloroh Nana.

AJL33 bakal berlangsung pada 3 Februari 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil.