Sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW hari ini bukan saja menjadi hari penting pada semua umat Islam di seluruh dunia tapi rasa cinta terhadap Rasulullah SAW boleh dizahirkan dengan tiga cara mudah ini.

Pendakwah popular, Dr Taha Mohd Omar atau lebih dikenali sebagai Dr T menyatakan selain perarakan diadakan di pelbagai lokasi, umat Islam pada zaman ini juga lebih bertuah kerana dapat membaca al-Quran menerusi telefon pintar.

"Bila kita melihat anak-anak muda sekarang, boleh dikatakan semua mengenali Muhammad SAW sebagai Nabi. Mereka juga tahu bahawa agama Islam yang kita anuti ini adalah agama yang telah dibawa oleh Baginda SAW.

"Akan tetapi sekadar mengenali Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Nabi, itu tidak cukup. Bahkan kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, cara pertama untuk menzahirkan cinta terhadap Rasulullah SAW adalah dengan membaca sirah dan sejarah Baginda dan keluarganya.

"Hari ini anak-anak muda lebih gemar membaca dan menonton program TV hero animasi, ada juga yang meminati artis-artis Korea dan Barat dan jadikan mereka idola dan rujukan fesyen.

"Jadi pertama sekali, kita sebagai ibu bapa perlu menerapkan cinta kepada Rasulullah SAW ke dalam hati anak-anak dengan membacakan kisah atau sirah Nabi Muhammad SAW. Ditambah pula dengan bahan bacaan harian sama ada dalam telefon pintar atau buku fizikal," katanya.

Penyampai jemputan radio Zayan ini juga menjelaskan cara kedua pula adalah mendidik anak-anak remaja dengan mengamalkan sunnah-sunnah kecil dan mudah.

"Sunnah bukan sekadar pada memakai kopiah, jubah dan berserban. Sunnah yang utama adalah dalam akhlak dan adab. Seperti memberi salam kepada semua, senyum, peramah, menghormati orang tua dan mengasihi yang kecil.

"Bayangkan kalau kita dapat menerap adab dan akhlak kepada anak-anak muda remaja kita, maka pastinya tak wujud istilah merempit dan menyamun," katanya.

Bagi cara ketiga, Dr T yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Brainy Bunch menasihati ibu bapa agar mengambil peluang membawa anak-anak ke masjid.

"Hati mereka akan menjadi lembut dan tertarik kepada kebaikan. Caranya mudah, kita perlu cari tahu lokasi-lokasi (di kawasan perumahan/flat/kampung) di mana anak-anak muda kita suka melepak kemudian kita mendekati dan pujuk mereka untuk ke masjid bersama kita.

"Perbanyakkan program-program yang mesra belia, seperti go-kart, grafiti, skateboard dan nyanyian (lagu positif atau nasyid). Dengan ini belia akan ada perasaan 'sense of belonging' terhadap masjid.

"Maka inilah yang perlu diteruskan dalam usaha menerapkan cinta Nabi Muhammad SAW ke dalam hati anak-anak muda dan bukan sekadar ketika Maulidur Rasul iaitu setahun sekali," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @drtahaomar