Rancangan hiburan popular Gegar Vaganza musim kelima (GV5) telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan Noryn Aziz diangkat sebagai juara.

Belum pun habis GV5, ramai yang sudah mula bermain dengan pelbagai spekulasi untuk musim terbaharu GV6 tahun hadapan.

Menjawab pertanyaan tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal memberitahu berkemungkinan rancangan realiti hiburan itu akan diteruskan lagi.

"Itulah apa yang peminat inginkan. Insya-Allah, doakan yang terbaik untuk GV6. Mungkin kita akan berjumpa lagi tahun hadapan," katanya optimis.

Malah, Emarina optimis dengan perkembangan positif rating tontonan GV5 secara dalam talian (online) di GV5 Live Plus.

"Boleh dikatakan rating musim ini sama seperti musim-musim terdahulu. Cuma ada peningkatan mendadak daripada tontonan secara online.

"Ini bermaksud golongan muda sudah mula menggemari rancangan GV dan menontonnya secara online," tambahnya.

Ditanya tentang penajaan untuk GV6, jelas Emarina pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk yang pernah terbabit dengan kelima-lima musim GV.

"Kita tunggu dan lihat. Mana-mana penaja yang datang dahulu, kita terima.

"Apapun, banyak lagi program akan datang bukan hanya GV dan tiada masalah pun untuk bekerjasama dengan sesiapa," katanya.

GV5 telah bersiaran selama lapan minggu secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.