Konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) sudah hampir tiba hingga kemuncaknya dan juara bagi pertandingan realiti ini bakal diketahui dalam konsert akhir yang akan bersiaran secara langsung dari Wisma MBSA, Shah Alam pada Ahad, 18 November ini.

Seramai lima finalis bakal merebut gelaran juara selepas lapan minggu bertahan dan bertarung mempamerkan kehebatan masing-masing.

Lima bintang GV5 tersebut adalah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee, Zamani dan Billy Zulkarnain.

Bagaimanapun dua nama yang sering disebut bakal dinobatkan juara GV5 adalah Noryn Aziz dan Amelina.

Dua nama ini dijangka akan bersaing sengit selepas masing-masing pernah berada di dalam kedudukan pertama sebanyak tiga kali.

Kehebatan vokal Noryn tidak dapat disangkal meskipun berasal dari genre jazz namun telah membuktikan ia bukan penghalang untuk menyahut cabaran menyanyi dalam genre yang berbeza.

Bukan Noryn sahaja, Amelina juga bintang yang paling menyerlah di GV5 apabila berjaya membawa genre sangat asing daripada genre asalnya, dangdut.

Amelina juga sering mendapat pujian daripada juri terutama Datuk Ramli MS dalam setiap persembahannya di pentas GV5.

Namun jangan dilupa, Dia Fadila juga antara bintang yang pernah mendapat kedudukan pertama dalam konsert keenam GV5.

Dia mempunyai kelebihan daripada bintang lain kerana merupakan seorang guru vokal yang mempunyai teknik nyanyian yang sangat baik.

Pun begitu, kedudukan Dia dan Maya Ruslee juga tidak jauh bezanya mereka ini sering mendapat kedudukan dalam top 3 hampir setiap minggu dan tidak mustahil jika mereka dinobatkan sebagai juara.

Maya tampil dengan kekuatan vokal yang paling menyerlah di GV5, bakat nyanyiannya kini sudah mula disedari meskipun sudah lama berada di dalam industri muzik tanah air.

Bagaimanapun, jangan dilupa dengan penyanyi yang menjadi kegemaran ramai iaitu Zamani.

Meskipun Zamani pernah hampir tersingkir di pentas GV5, namun auranya itu amat luar biasa dan pasti ramai mengharapkan penyanyi ini menjadi juara.

Kehebatan aura yang ada pada Zamani tidak dinafikan telah mempengaruhi pihak penaja, Datuk Aliff Syukri untuk menggunakan satu-satunya imuniti yang dia ada.

Selain itu, jangan memandang rendah kepada kebolehan penyanyi duo pertama GV iaitu Billy Zulkarnain.

Meskipun Billy Zulkarnain sering mendapat kedudukan serta markah terendah daripada juri namun ia tidak memutuskan semangat mereka untuk kembali menyerlah pada minggu sebelum separuh akhir GV5.

Hasil mendapatkan bantuan daripada guru vokal Cikgu Syafi, persembahan mereka semakin bagus dan siapa tahu mereka boleh menjadi juara GV5.

Finalis GV5 kali ini mempunyai kekuatan serta kehebatan masing-masing, malah tiada siapa yang boleh menyangkal jika salah seorang mereka dinobatkan sebagai juara GV5.

Saksikan Konsert Akhir GV5, yang bakal bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), jam 9 malam pada Ahad, 18 November ini.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.