Kumpulan Sofazr mengakui mengalami kejutan budaya dan lupa diri ketika nama mereka sedang berada di puncak populariti suatu ketika dulu.

Menurut salah seorang anggota Sofazr, Zimi mengakui kealpaan mereka itu membuatkan kumpulan mereka tidak melakukan persediaan terperinci untuk kekal relevan dalam industri.

"Dulu kami pernah lupa diri ketika nama berada di puncak populariti malah duit yang dapat sering dihabiskan dengan membeli barangan yang mewah.

"Disebabkan itu kami tidak melakukan persediaan untuk bersaing dengan banyak band baru yang muncul sehingga nama Sofazr tenggelam dan dilupakan peminat.

"Mungkin dulu kami ingat peminat akan setia selamanya dengan Sofazr tapi ternyata tanggapan kami salah kerana industri ini dipenuhi dengan kumpulan muzik yang baru.

"Jadi perkara itu mematangkan kami untuk lebih berhati-hati dan beringat supaya tidak lupa diri lagi selepas ini dan kembali aktif dengan single baharu," katanya kepada Gempak.

Zimi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Sofazr, Takkan Mungkin di Red Box, The Garden Mall, Petaling Jaya, pada Khamis.

Selain Zimi, Sofazr dianggotai Wan Shahbaharin Niktah (gitaris pertama, Wan Shah Baharom Niktah (One drum), Ahmad Fairouz Mohammad (bass), Amir Mahiyiddin (vokalis) dan Rodie Jamun (keyboard).