Pengasas kosmetik D’herbs Holdings (M) Sdn Bhd Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, berkongsi pengalaman enam bankrap dan tidak tahu berbahasa Inggeris dalam buku autobiografinya, Bermula Sebuah Kisah.

Aliff Syukri yang turut terkenal dengan panggilan ‘Abang Terlajak Laris’ ini turut mendedahkan menghidap disleksia.

“Tidak ramai yang tahu sisi hidup saya yang tidak tahu berbahasa Inggeris dan disahkan disleksia.

“Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran dan mempunyai masalah untuk membaca dan menulis,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Aliff Syukri, dia menulis sendiri buku setebal 175 muka surat dan mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan catatan kehidupan peribadi dan suka-duka kehidupannya sebelum bergelar jutawan.

“Bukan mudah untuk saya bertapak dalam dunia perniagaan selepas melalui pengalaman enam kali bankrap serta disamun ketika mempromosikan produk rumah ke rumah.

“Tujuh tahun saya membina empayar perniagaan untuk bergelar jutawan bukan sesuatu yang mudah, pelbagai pengalaman dilalui yang orang ramai tidak tahu.

“Disebabkan itu, saya terfikir untuk menerbitkan buku yang dianggap ‘diari’ ini sebagai tatapan dan sumber inspirasi kepada orang ramai terutama mereka yang bercita-cita mahu bergelar usahawan,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Buku Autobiografi Bermula Sebuah Kisah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru- baru ini.

Katanya, buat kali pertama dia sudi berkongsi sisi hidupnya dengan masyarakat umum mengenai kenangan zaman kecil, suka duka dan rahsia perniagaan, kisah rumah tangga dan segala kenangan serta pengalaman dicoretkan dalam buku berharga RM30 terbitan Kristal Publishing itu.

Menurutnya, dia turut membongkar rahsia dan tip kejayaan membina empayar perniagaan sehinggalah memiliki sebuah Wisma D’Herbs bernilai RM25 juta, tiga perniagaan spa, 45 kedai jamu dan 200 aset perniagaan lain.