Kumpulan 2B yang beraksi pada minggu kedua program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) pada minggu lalu mengakui mereka dapat menjangka tersingkir awal sejak menyertai pertandingan tersebut.

Salah seorang anggota kumpulan itu, Ismawira Bahdun atau lebih dikenali sebagai Weera Gegar Lawak menyatakan dia mempunyai masalah gemuruh yang kuat apatah lagi perasaan itu menguasai dirinya ketika berada di atas pentas MLM 2018.

"Tengok senarai peserta, kami boleh jangka sebab peserta otai ramai. Kami pelan nak berjuang sejauh mana boleh pergi tapi rezeki Allah tentukan," katanya kepada Astro Gempak.

Akuinya, dia bersama rakannya, Lokman Harmin (Man) melakukan kesilapan pada persembahan minggu kedua ini apabila idea mereka tidak lawak pada penonton.

"Seperti bayi sebelum berlari, dia kena belajar merangkak dan pelan-pelan berjalan. Kami kecewa memang kecewa tapi kami masih boleh belajar untuk memperbaiki diri.

"Tahun ini bukan kami punya tapi insha Allah tahun akan datang," katanya.

Ujarnya, pengalaman ketika menyertai program Gegar Lawak cukup berbeza dengan MLM 2018.

"Ia sangat beza apabila kami keluar penonton gelak tapi bila masuk MLM 2018, ia satu pentas yang besar dan gah.

"Penonton mengharapkan sesuatu yang 'gila', itu yang kami belajar bila masuk ke program ini," katanya.

Weera juga menyatakan mereka tidak berdepan masalah ketika latihan tapi ketika persembahan minggu lalu, dia mula rasa gemuruh.

Man pula berpandangan sebagai pelawak baru, dia sendiri tidak tahu kehendak penonton MLM 2018.

"Saya tawakal saja. Saya akui persembahan memang kurang lawak. Apa yang kami pelan jadi lain.

"Mungkin sebab gemuruh apatah lagi kami baru di pentas besar. Dulu di Gegar Lawak, saya tidak rasa tekanan sebegini tapi di pentas MLM 2018 rasa gemuruh itu lebih dengan tekanan," katanya.

Mengenai komen juri, dia menghormati apa yang dikritik terhadap persembahan mereka pada malam itu.

"Bagi saya, itu daripada pandangan. Mereka betul sebab mereka dipilih atas dasar latar belakang mereka.

"Apa yang mereka komen saya terima. Jadi, benda itu saya ambil sebagai pengajaran. Masa latihan tiada masalah, memang lawak tapi bila di pentas MLM 2018 kami jadi gemuruh," katanya.

Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak