Bermula dari bidang lakonan, penerbit Datuk Rafiena Ezanee Ramlee mengorak langkah melibatkan diri dalam bidang penerbitan.

Pemilik syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd ini juga tidak duduk diam dan terus ligat mengintai pintu peluang baru untuk diterokainya.

Lari dari bidang hiburan, wanita besi ini kini melibatkan diri dalam perniagaan baja.

"Syukur Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan seperti biasa. Pada masa yang sama, saya kini sibuk menguruskan perkara lain dan mengintai peluang berbeza untuk meluaskan empayar.

"Saya sedang rancak menguruskan syarikat baru, Maitha Intergrated yang berpangkalan di Bangkok. Bisnes ini akan memfokuskan terhadap perniagaan baja.

"Bagi saya, perniagaan baru harus diteroka kerana ini merupakan satu peluang untuk saya meluaskan empayar perniagaan.

"Pada masa yang sama, ini menjadi motivasi untuk saya bekerja dan berusaha lebih kuat. Semua orang tahu yang saya suka bekerja dan saya mahu jadikan ini sebagai satu cabaran baru dalam diari hidup saya," katanya.

Dalam pada itu, Rafiena tidak pernah melupakan bidang hiburan yang menjadi cinta hati pertamanya.

"Saya takkan mengabaikan bidang hiburan kerana dari situlah saya bermula. Dalam perkembangan terbaru, saya telah mewujudkan syarikat pengurusan bakat, Darkwave x DRE.

"Saya juga sibuk dengan penggambaran drama bersiri baru, Syurgaku Tak Sempurna (STS) yang memasuki musim kedua," katanya lagi.

Sekuel STS menampilkan lakonan hebat Raja Ilya, Shah Iskandar dan Haliza Misbun manakala sutradara Raja Mukhriz bakal menggalas tugas sebagai pengarah.

Drama bersiri itu bakal ditayangkan pada Mac tahun hadapan.