Bekas bintang Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Hetty Sarlene akur tersingkir dan menerima keputusan juri dengan hati yang terbuka di konsert separuh akhir yang berlangsung malam tadi.

Kata Hetty, dia sentiasa bersedia dengan sebarang kebarangkalian penyingkiran dan menerima keputusan itu sebagai adat pertandingan.

“Saya dah buat sehabis baik. Sudah rezeki saya bertahan hingga ke minggu separuh akhir dan saya terima ketentuan ini.

“Perkara macam ini kena bersedia dan jangan letak harapan terlalu tinggi kalau tidak akan kecewa.

“Disebabkan saya dah buat persediaan jadi saya tidak terlalu sedih, nak buat macam mana dah tak ada rezeki.

“Saya rasa tak perlu pertikaikan tentang perkara ini kerana bagi saya rezeki sudah tertulis hanya setakat itu sahaja.

“Alhamdulillah, dapat bertahan hingga separuh akhir pun saya dah rasa gembira. Bukan senang nak dapat peluang seperti ini,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai persembahan pertamanya, Pencuri Hati nyanyian asal Ayda Jebat, Hetty mengakui lagu tersebut agak mencabar.

“Untuk persembahan pertama itu memang penat sebab lagu fast, saya dah lakukan sehabis baik.

“Memang mencabar, mana nak menari lagi nak menyanyi lagi memang susah. Tidak ada masa untuk berehat.

“Tapi secara keseluruhannya saya puas hati dan dah buat yang terbaik,” ujarnya.

Selain Hetty, bintang lain yang turut diumumkan tersingkir adalah kumpulan Forteen.

Manakala enam bintang yang berjaya ke peringkat akhir adalah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee, Zamani dan Billy Zulkarnain.

Peringkat akhir GV5 pada 18 November ini ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut.