Bila bercakap tentang gandingan bila membuat konsert, Dato' Awie dan Ella sering menjadi pilihan untuk digandingkan bersama. Sudah banyak kali mereka bersama seperti persembahan di Istana Budaya, di Singapura dan bermacam-macam lagi.

Terbaru, Dato' Awie dan Ella dipilih untuk bersama lagi dalam sebuah majlis makan malam 'Dinner Gig 2018' yang dianjurkan oleh FUFC The Fighters untuk tujuan mengumpul dana bagi kelab bola sepak Felda United.

“Kami memang serasi apabila membuat persembahan bersama. Mungkin juga kerana kami pernah ada lagu duet bersama, Baldu Biru, yang cukup popular hingga ke hari ini. Malah chemistery kami bersama juga cukup kuat di atas pentas.



“Kami akan buat persembahan dalam setengah jam seorang, mungkin dalam lima lagu dari saya dan lima lagu dari Ella. Tapi kami akan selitkan juga persembahan duet yang akan dibincangkan nanti.

“Ada masa kurang sebulan lagi untuk kami berbincang lagu yang bersesuaian dengan persembahan kami.” kata Awie.

Ditanya kenapa penyanyi-penyanyi senior masih lagi menjadi pilihan untuk membuat persembahan yang dianggap besar, Awie beranggapan itu adalah kepercayaan orang ramai tentang kualiti dan persembahan itu sendiri.



“Syukur, sudah lebih 33 tahun dalam bidang ini, ramai yang masih mempercayai bakat yang kami ada. Mungkin kerana mereka pernah menonton persembahan kami dan tahu keupayaan kami dalam memberikan hiburan kepada umum.

Dinner Gig 2018 bakal berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, dan tiket boleh dibeli secara online di www.stubapp.com