Penerbit Datuk Rafiena Ezanee Ramli menepis dakwaan yang mengatakan dia semakin senyap tanpa sebarang karya.

Pemilik syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd ini kini sibuk merangka idea bagi mengembangkan lagi bisnes serta meluaskan pengalaman sebagai ahli perniagaan.

"Siapa kata saya senyap? Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan seperti biasa tetapi saya kini sibuk menguruskan perkara lain.

"Saya sedang rancak menguruskan syarikat baru, Maitha Intergrated yang berpangkalan di Bangkok.

"Selain itu, saya juga mewujudkan syarikat pengurusan bakat, Darkwave x DRE serta sibuk dengan penggambaran drama bersiri baru, Syurgaku Tak Sempurna (STS) yang memasuki musim kedua.

"Mungkin saya sudah kurang mengemaskini apa yang saya lakukan di laman sosial tetapi itu tidak bermakna saya senyap.

"Tak semua perkara perlu dikongsi di laman sosial. Lagipun, lebih baik keluar di media untuk perkara yang positif sahaja," kata Rafiena.

Tambah wanita yang turut bergelar pelakon ini lagi, bidang penerbitan tetap menjadi keutamaannya.

"Apa-apapun, saya tetap meletakkan fokus utama terhadap bidang penerbitan. Alhamdulillah, sekuel STS sedang menjalani penggambaran.

"Saya bersyukur drama bersiri terbabit mencatat 4.3 juta tontonan di Hypp TV dan sambungan STS bakal menjadi drama sekuel pertama yang ditayangkan di stesen tersebut.

"Saya tidak sabar menantikan hasilnya dan seperti biasa, saya mengutamakan kualiti dalam setiap hasil kerja saya," katanya lagi.

Sekuel STS menampilkan lakonan hebat Raja Ilya, Shah Iskandar dan Haliza Misbun manakala sutradara Raja Mukhriz bakal menggalas tugas sebagai pengarah.

Drama bersiri itu bakal ditayangkan pada Mac tahun hadapan.