Konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) menyaksikan Hetty Sarlene dan Forteen gagal mara ke peringkat akhir pertandingan.

Bertemu dengan juri tetap GV5, Datuk Ramli MS usai konsert, Hetty dan Forteen melakukan beberapa kesalahan yang membuatkan mereka tersingkir dari GV5.

"Berbanding Izzue, Ameer dan Ariz, hanya One sahaja yang memberikan persembahan terbaik dalam setiap nyanyian.

"Boleh nampak yang One kedengaran penat menyanyi keseluruhan lagu biarpun mereka datang sebagai kumpulan.

"Macam pernah saya katakan, mereka ibarat meniaga. One penat bekerja untuk ahli kumpulan lain meniaga. Kurang peningkatan untuk ahli kumpulan lain dan mereka juga banyak melakukan kesilapan," kata Ramli.

BACA: Konsert Separuh Akhir GV5 - Markah Keseluruhan Semua Peserta Mengikut Urutan

Bercakap mengenai Hetty, vokal lantang penyanyi itu tidak menjadi jaminan untuknya layak ke peringkat akhir.

"Hetty banyak melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi dari segi melodi. Ia kedengaran tidak stabil.

"Nyanyian lantangnya tidak menjadi mata untuk Hetty. Memang benar vokalnya lantang tetapi Hetty gagal membuat pengawalan melodi sehingga menyebabkan dirinya tersingkir.

"Secara keseluruhan, markah adalah hasil campuran daripada tiga orang juri. Hetty dan Forteen gagal menempatkan diri mereka ke peringkat akhir," katanya lagi.

Peringkat akhir GV5 pada 18 November ini ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.