“Memang Saya Potong Markah Lupa Lirik, Tapi...” - Penjelasan Datuk Ramli MS Apabila Zamani Ke Final GV5

Hiburan
“Memang Saya Potong Markah Lupa Lirik, Tapi...” - Penjelasan Datuk Ramli MS Apabila Zamani Ke Final GV5

Juri tetap Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS akui memotong banyak markah Zamani ketika dia membawakan lagu Dekat Padamu dendangan asal Yusry Abd Halim.

Namun, Ramli berkata, dia terpaksa akur apabila telah memberikan markah yang banyak kepada Zamani menerusi persembahan kedua.

“Perlu difahami bahawa penilaian markah malam ini adalah berdasarkan dua persembahan.

“Memang saya potong banyak markah Zamani kerana lupa lirik dan beberapa masalah lain di persembahan yang pertama... Dia hilang 65 markah daripada saya.

“Malah, markah dia pada persembahan pertama lebih rendah daripada Hetty Sarlene dan Forteen.

“Namun, dia bangkit menerusi persembahan kedua dan saya akui telah memberinya markah yang banyak.

"Saya berikan markah yang tinggi, dua juri lain juga tinggi. Selepas markah ketiga-tiga juri dicampur, Zamani berjaya melangkah ke final dan berada di kedudukan kelima,” katanya kepada Gempak.

Persembahan pertama Zamani menyaksikan penyanyi itu gagal membuat persembahan dengan baik di bahagian pertama kerana kelihatan seperti lupa lirik.

Malah, paling mengejutkan, Ramli juga tidak mahu memberi sebarang komen selepas selesai persembahannya.

“Selalunya, bila saya tak mahu komen itu maknanya maaflah, memang sudah boleh terkeluar.

“Tapi, situasi berbeza terjadi kepada Zamani, meskipun dia gagal menyanyikan dengan baik, tetapi dia berjaya selesaikan persembahannya.

"Dia juga memberikan persembahan terbaik menerusi lagu kedua, Di Matamu nyanyian asal Sufian Suhaimi,” katanya lagi.

Zamani merupakan antara enam peserta yang bakal mara ke peringkat akhir selain Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee dan Billy Zulkarnain.

Manakala perjalanan Hetty Sarlene dan Kumpulan Forteen terhenti apabila diumumkan bintang yang gagal ke peringkat akhir.

Peringkat akhir GV5 pada 18 November ini ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5. 


Artikel Berkaitan