Vokalis kumpulan May iaitu Mus mengakui tidak sabar untuk bergabung tenaga dengan XPDC pada Konsert Metal Return 1.0 live yang akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 15 Disember ini.

Menurut Mus, gabungan kedua-dua kumpulan iaitu May dan XPDC sudah pasti dinantikan oleh peminat terutamanya penduduk di sekitar Ipoh.

"Konsert kali ini cukup istimewa kerana kami bergabung bersama kumpulan XPDC dan berkongsi pentas yang sama untuk menghiburkan peminat.

"Saya sebenarnya tak sabar nak gegarkan Stadium Perak kerana itu merupakan kampung halaman saya bersama anggota kumpulan May yang lain.

"Pada kali ini persembahan kami sangat istimewa kerana peminat dapat melihat gabungan May dan XPDC atas satu pentas sama yang akan mengegarkan kampung halaman kami.

"May sangat teruja bergabung dengan XPDC dan saya berharap agar peminat sekitar negeri Perak dapat datang serta berhibur bersama kami pada malam itu nanti," katanya kepada Gempak.

Mus berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media XPDC & May Konsert Metal Return 1.0 di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Tiket Konsert Metal Return 1.0 live mula dijual dengan harga RM150, RM95 dan RM60.

Orang ramai yang ingin dapatkan tiket konsert ini boleh menghubungi 0192407994 (Mentari Merah).