Saingan minggu pertama program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) bukan saja menyaksikan 14 peserta terselamat daripada penyingkiran tapi kemunculan tiga juri tetap bersama seorang juri jemputan memberikan kekuatan pada komen yang lebih jujur.

Ketua Kandungan Strategik (Komedi), Namanzee Harris berkata pada setiap tahun apabila program ini berlangsung, jangkaan penonton adalah tinggi.

"Apabila nak bentangkan juri, kita saring betul-betul. Kita ada pelawak, Douglas Lim, pelakon dari Indonesia iaitu Tya Arifin yang sudah lama bermastautin di Malaysia dan tahu industri komedi itu sendiri serta Remy seorang pelakon yang cukup menghayati watak," katanya pada sidang media selepas program MLM 2018 berakhir di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, ada beberapa kriteria yang berbeza antara tiga selebriti berkenaan yang diambil kira pihak produksi untuk dilantik sebagai juri MLM 2018.

"Paling penting kita ada ketua juri yang diketuai oleh Douglas Lim kerana perlunya pendapat dari seorang pelawak yang biasa membuat 'stand up' komedi yang tahu dan boleh menilai karya di atas pentas itu, bagaimana penghasilannya, persediaannya dan kualitinya.

"Pada penghujungnya, kita nak sampaikan sesuatu yang menghiburkan pada Jumaat," katanya.

Selain tiga juri tetap, aksi persembahan peserta juga dinilai pelakon Scha Alyahya sebagai juri jemputan.

Pada persembahan minggu lalu menyaksikan kumpulan Shiro menduduki undian tertinggi manakala kumpulan 2B menjadi peserta terendah.

Kesemua peserta dinilai menerusi juri yang mewakili markah sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus menerusi aplikasi TikTok.

Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak