"Ini persembahan terbaik Zamani sepanjang Gegar Vaganza musim kelima (GV5) berlangsung," kata juri tetap, Datuk Ramli MS mengenai persembahan penyanyi terbabit mendendangkan lagu Hapus Aku di konsert suku akhir GV5 Ahad lalu.

Selepas insiden kehilangan suara dan gagal menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada minggu sebelumnya, Zamani bangkit dan berada di kedudukan ketiga pada konsert suku akhir.

"Dalam penjurian saya sendiri, persembahan minggu suku akhir Zamani merupakan yang terbaik semenjak minggu pertama. Dia sangat 'steady' dan kurang buat silap.

"Selama ini, dia sangat 'shaky'. Tapi dalam penjurian 'personal' saya , dia tidak berada di kedudukan Top 3 dan dia juga tidak berada di kedudukan bawah. Mungkin selepas markah tiga juri lain dicampurkan, dia berada di kedudukan ketiga.

"Harap-harap dia menggandakan lagi usaha di minggu separuh akhir. Mungkin sokongan orang ramai memberikan Zamani kekuatan untuk memberikan terbaik. Dia kena lakukan sehabis baik, kalau tidak, dia akan malu sendiri," kata Ramli.

Konsert suku akhir GV5 menamatkan perjuangan Farawahida dengan kutipan markah 61.5%.

Farawahida telah menyampaikan lagu berjudul Ayat-Ayat Cinta nyanyian asal Datuk Seri Rossa.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.