Pernah berkahwin pada usia muda, seorang ibu tunggal terbuka berkongsi kisah silamnya di media sosial sebagai pengajaran pada golongan muda agar tidak senasib dengannya.

Mempunyai 19,800 pengikut di Twitter, @ayuazizz, wanita berusia 24 tahun ini mengakui segelintir pihak mengecamnya kerana beranggapan dia membuka aib sendiri dan bekas pasangan kepada khalayak.

"Saya nak bercerita pada wanita di luar sana agar jangan putus asa. Lepas cerai rasa apa kerana tidak semua orang berani kongsi kisah peribadi mereka. Ada yang berkongsi cuma dari mulut ke mulut," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, berkongsi pengalaman hidup sendiri adalah cara terbaik dalam mendidik wanita lain terutama gadis masih muda yang mempunyai keinginan berkahwin.

"Pada saya kena didik terutama pada perempuan muda yang nak berkahwin. Sebelum ini ada viral mengenai gadis berusia 16 tahun nak berkahwin.

"Saya tak cakap berkahwin pada usia muda itu salah. Saya juga berkahwin pada usia muda dan bercerai pada usia muda.

"Sebolehnya, saya tidak mahu perempuan lain senasib dengan saya. Mungkin ada sesetengah orang melihat cara penyampaian saya di media sosial sehingga wujud salah faham," katanya.

Jelasnya, golongan ibu tunggal, janda dan anak yang lahir daripada penceraian lebih memahami kisah hidup sebegini.

"Perkahwinan saya hanya bertahan selama 3 tahun selepas berkahwin pada usia 20 tahun. Pada masa itu saya berkahwin kerana berasakan perkahwinan itu suatu yang menyeronokkan.

"Memang pada usia muda ketika itu, fikiran tidak matang. Mungkin sebelum berkahwin rasa susah tinggal dengan ibu bapa dan fikir berkahwin semuanya senang.

"Saya tidak fikir dugaan itu kuat sangat sehingga banyak memori buruk pada diri saya terhadap perkahwinan terdahulu," katanya.

Ayu yang kini masih belajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kecantikan di sebuah kolej swasta, berpandangan bercinta selepas nikah tidak sesuai pada zaman sekarang.

"Dulu percaya tapi tak jadi pada saya. Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih tenang dan senang.

"Ramai kawan saya yang memberi sokongan. Bab trauma daripada perkahwinan dulu itu memang ada sampai sekarang tapi saya sudah boleh 'move on' selepas setahun 'down'," katanya.

Ayu yang pernah menjadi cikgu solekan di Pusat Giat Mara juga menyatakan perkahwinan adalah sesuatu yang membuatkan kehidupan sendiri berasa bahagia.

"Dugaan tetap ada tapi ia ada batasan. Apabila sampai tahap tidak bahagia, jangan seksa diri. Saya bukan mengalak orang lain bercerai macam saya. Berkahwin dalam umur sebaya mungkin tak sesuai kerana sama-sama mempunyai perasaan yang panas.

"Lebih baik, perempuan muda tapi berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia kerana faktor matang. Saya sendiri berkongsi kisah saya di media sosial untuk mendidik golongan muda.

"Banyak respon saya terima terutama daripada orang muda dan ibu tunggal. Saya nak wanita lain kuat macam saya dan tahu berkahwin bukan mudah kerana banyak sangat tanggungjawab perlu difikirkan," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak