Persembahan minggu pertama program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) menyaksikan kumpulan Masin menjadi pilihan dua juri sebagai persembahan terbaik tapi juri, Remy Ishak memilih kumpulan Taman lebih menyerlah.

Remy memberitahu tugas juri untuk memberikan komen sebenarnya sukar dibandingkan menjadi penonton di rumah.

"Saya tahu peserta mana yang buat persembahan baik atau tidak. Peserta senior memang pegang semua tapi kalau tanya saya pasal persembahan kesemuanya, susah nak pilih sebab idea berbeza, mereka ada pengalaman yang lebih kurang sama tapi idea mereka menampakkan mereka bijak dan ada buat rujukan," katanya pada sidang media selepas program MLM 2018 berakhir baru-baru ini.

Akuinya, peserta baru mungkin nampak lebih gementar tapi dia memilih kumpulan Taman sebagai peserta yang membuat persembahan terbaik pada malam itu.

"Saya seorang pelakon yang dididik pengarah untuk pegang satu karakter dan fokus. Jadi, dua karakter mereka (Taman) ini tidak lari berada dalam skop mereka sahaja," katanya.

Bagi salah seorang anggota Taman iaitu Tauke Jambu menyatakan dia sendiri sangat terharu dengan komen daripada juri dan penonton pada persembahan pertama mereka kali ini.

"Selepas beberapa musim saya ketandusan dan kegersangan, juri kemudian memberikan kami 5 'Ha'. Ini adalah rezeki anak dan doa sahabat yang nakkan Tauke Jambu mengembalikan aura yang sudah lama sepi dan menghilang.

"Saya juga malu pada diri sendiri, tak bangga sebenarnya sebab dah tengok persembahan kami sebelum ini dan kembali semula. Memang senang duduk di atas tapi susah untuk kekalkan kedudukan itu," katanya.

Tauke mengakui dia bersama Man Posmen juga merancang persembahan mereka sebelum beraksi tapi turut menyelitkan beberapa adegan spontan.

"Banyak juga jadi spontan kali ini tapi pelan kena ikut. Dalam satu cerita seperti pokok, kalau dahan atau daun hilang tidak mengapa tapi kalau tunjang atau akar hilang, hilang satu pokok.

"Cerita jangan lari. Saya dengan Man sebelum ini pernah buat persembahan bersama. Saya yakin ada sesuatu dalam diri dia dan apa yang dia buat dengan ikhlas, tidak payah memaksa diri untuk berlawak," katanya.

Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak