Aktres terkenal, Datin Seri Umie Aida mengaku tidak menjangkakan akan memperoleh kemenangan pada malam Anugerah Skrin 2018.

Menurut Umie Aida, dia menganggap kejayaan yang diperoleh adalah rezeki kepadanya.

"Sejujurnya, saya tidak menjangkakan akan menang pada malam ini. Saya seorang yang tidak berasa yakin dengan diri sendiri.

"Tipulah kalau saya katakan tidak mahu menang pada malam ini. Saya sudah berusaha keras untuk watak itu.

"Malah, sebelum saya menerima watak itu, sudah mengetahui ia adalah satu watak yang besar," katanya.

Umie Aida ditemui di malam Anugerah Skrin 2018 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Teraju utama kepada filem Dukun itu mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada filem tersebut untuk bertanding pada malam anugerah itu.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada filem Dukun untuk bertanding pada malam ini walaupun karyanya terperap selama 12 tahun.

"Alhamdulillah, malam ini adalah rezeki Dukun," katanya kepada Gempak.

Di malam Anugerah Skrin 2018, Umie Aida telah merangkul trofi sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Selain itu, filem terbitan Astro Shaw itu turut memenangi kategori Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem (Namron) dan Pengarah Filem Terbaik (Dain Said).