Penyanyi dan selebriti media sosial yang terkenal di laman YouTube, Takahara Suiko menjadi seorang mangsa dera.

Watak tersebut digalas dengan cemerlang oleh Takahara dalam telefilem terbaru yang bersiaran di Astro First Eksklusif, Hey Orang Kita.

"Dalam Hey Orang Kita, saya memegang watak sebagai Hartini, seorang wanita yang didera oleh suaminya. Seperti pelakon lain, saya menghadiri sesi uji bakat yang dijalankan. Saya tak sangka pula yang percubaan saya menjalani uji bakat tersebut diterima,” kata Takahara.

Selain Takahara, Hey Orang Kita yang diarahkan oleh sutradara Zara Kahan ini menampilkan Raja Syahiran, Talitha Tan, Christian B Palencia dan ramai lagi.

"Telefilem ini merupakan sebuah projek yang cukup berbeza. Ianya memaparkan kisah-kisah semasa yang diolah menjadi sebuah muzikal tetapi masih sarat dengan pengajaran. Ianya berbeza daripada kisah masyarakat yang dipaparkan di kaca televisyen dan layar perak sebelum ini,” kata Takahara lagi.

Hey Orang Kita mengisahkan kehidupan 4 anak muda, Hassan, Lilian, Hartini dan Clayton yang berhijrah ke Kuala Lumpur dalam usaha keluar dari kancah masalah kehidupan yang mereka hadapi. Hari demi hari, pelbagai rintangan mereka lalui. Daripada konflik keluarga sehinggalah melibatkan diri mereka dalam kancah sosial masyarakat, setiap dugaan yang mereka hadapi ditempuhi dengan tabah.

Hey Orang Kita mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 19 Mei 2016. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, seperti lazimnya para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Sumber: Harian Metro dan Mstar