Mengakui Dewi Remaja merupakan platform untuk menyerlahkan bakat, Scha berharap peserta program ini dapat menjadi diri sendiri.
"Benar, Dewi Remaja merupakan landasan yang tepat untuk mengembangkan bakat. Namun begitu, kalau mereka ingin bergelar Dewi Remaja, kecantikan sahaja tidak cukup.
"Ya, kena ada rupa, tetapi apa yang boleh anda tawarkan kepada semua orang di luar sana? Adakah sandaran itu hanya boleh diletakkan kepada paras rupa semata-mata? Ia lebih dari itu.
"Mereka perlu menjadi diri sendiri... Selain itu, mereka harus menyerlahkan bakat yang ada. Penampilan sahaja tidak mencukupi, mereka harus tahu mengawal diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap perkara yang mereka lakukan," kata Scha.
Menyandang gelaran Dewi Remaja 2005, Scha mahu finalis Dewi Remaja 2018 / 2019 menjadi inspirasi kepada ramai remaja lain di luar sana.
“Saya berharap edisi Dewi Remaja kali ini dapat menghasilkan finalis yang boleh dibanggakan. Apa yang penting, mereka harus menjadi inspirasi kepada generasi baru di luar sana.
"Seiring dengan kepesatan media sosial, banyak cabaran yang perlu dihadapi dan mereka harus menunjukkan contoh yang baik kepada remaja lain," katanya lagi.
Menggalas tugas sebagai pengacara program ini, Dewi Remaja 2018 / 2019 bakal bersiaran setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam di saluran Astro Ria (104) & Ria HD (123) bermula 25 November depan.