Bekas Juri Tetap Percaya Peserta MLM 2018 Bakal Buat Persembahan Terbaik

Hiburan
Bekas Juri Tetap Percaya Peserta MLM 2018 Bakal Buat Persembahan Terbaik
Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri percaya program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) bakal menyaksikan 14 peserta yang bertanding akan memberi suatu persembahan yang baru yang lebih menghiburkan.

Ahmad Idham yang pernah menjadi juri tetap ketika program Maharaja Lawak memberitahu MLM 2018 menjadi platform terbaik yang mampu membantu pelawak tempatan untuk mengasah bakat lawak mereka di depan khalayak.

"Secara jujur, setakat ini saya nampak 'content' lawak di atas pentas menimbulkan kerisauan pada penonton seolah dimensi lawak tiada satu anjakan yang membawa perubahan pada nilai persembahan.

"Meskipun pelawak cuba berlawak dengan mencari 'pick-up line' tapi dari aspek pakej, nampak tepu sehingga muka yang sama masuk sebagai peserta," katanya kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun, dia melihat MLM 2018 mencipta platform baru dengan menggabungkan pelawak senior dan baru bersaing kali ini.

Jelasnya, pelawak perlu menjadi seperti tukang masak yang pandai memasak sambil mencuba rasa yang berbeza.

"Lawak itu tidak seharusnya bergantung pada kata-kata secara spontan tapi ia perlu lebih dirancang dengan teliti," katanya.

Ahmad Idham berkongsi pandangan pelawak juga perlu memastikan jika persembahan mereka berkait dengan tarian, ia perlu dilakukan menerusi koreografi yang sempurna.

"Koreografi itu juga menyumbang pada elemen komedi. Begitu juga, saya dapat rasakan MLM 2018 kali ini menitikberatkan faktor-faktor ini pada peserta.

"Malah, saya percaya peserta MLM 2018 kali ini dapat memberi suatu persembahan yang terbaik yang lebih segar," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @ahmad_idham
 

Artikel Berkaitan