Penyanyi popular Misha Omar amat berpuas hati dengan muzik video untuk single terbarunya, Sampai Bila.

Menurut Misha, hasil kerja dalam muzik video tersebut menepati citarasa dan kemahuannya selama ini.

"Bagi saya, muzik video Sampai Bila ini adalah satu pencapaian yang baik sepanjang kerjaya saya sebagai seorang penyanyi.

"Konsep dan gaya yang diatur oleh pengarah muzik video terkenal, Chuan Looi sangat berjaya hinga membuatkan saya menangis beberapa kali akibat terlalu gembira dan terharu.

"Lebih menarik apabila lebih 20 orang peminat turut terlibat dalam proses pembikinan dan mereka telah ditampilkan dalam muzik video ini," katanya.



Misha berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video serta karaoke video lagu Sampai Bila bertempat di Red Box Plus, Pavilion sebentar tadi.

Muzik video Sampai Bila ini telah mula dilancarkan di YouTube bermula tengahari tadi, ia juga boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, Joox Music dan Spotify.