Penyanyi tanah air yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan kumpulan K-Pop terkenal dunia, BTS.

Yuna memberitahu hasratnya itu menerusi akaun Twitternya semalam.


“Saya fikir sudah tiba masanya untuk berkolaborasi dengan @BTS_Twt #2019. Apa pendapat anda?

“Sengaja sahaja meluahkan hasrat. Saya sudah bersedia untuk segala-galanya pada tahun 2019! Mari lakukan,” tulisnya.

Sehingga kini, tweet Yuna itu mendapat lebih 30,000 tanda suka dan diulang tweet sebanyak 14,400 kali.

BTS atau Bangtan Boys dianggotai oleh tujuh anak muda berbakat iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.

BTS juga pernah disenarai oleh Forbes sebagai kumpulan paling banyak ciapan di Twitter pada Mac 2016 selain menjadi kumpulan Korea pertama yang mengungguli carta Social 50, Billboard.

Untuk rekod, BTS memiliki dua akaun Twitter yang diwujudkan atas tujuan berbeza iaitu @BTS_BigHit yang diuruskan oleh syarikat pengurusan mereka, Big Hit Entertainment manakala @BTS_Twt dikendalikan sendiri oleh mereka.

Yuna dan BTS juga saling mengikuti akaun twitter dan perkembangan kerjaya muzik masing-masing.

Foto: Google