Kejayaan filem Hantu Kak Limah (HKL) mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM36.2 juta memberi impak besar pada penonton sehingga ia dijadikan pementasan teater muzikal.

Pengarah filem tersebut, Mamat Khalid memberitahu Astro Gempak, ujibakat mencari pelakon untuk terbabit dalam pementasan teater ini akan dilakukan di MAPS Theatre, Movie Animation Park Studio, Ipoh Perak.

Menariknya, pementasan itu akan diadakan di lokasi berkenaan turut membuka peluang pada orang Perak sendiri untuk mencuba nasib sebagai pelakon teater.

"Lokasi sesuai dengan tema MAPS iaitu filem dan animasi. Orang Perak lebih biasa dengan loghat dan lenggok bahasa yang digunakan di dalam HKL, secara tak langsung pementasan teater ini menjadi satu projek 'homegrown'," katanya.

Ujarnya, ujibakat akan dijalankan pada 7 hingga 8 November ini dari jam 6 petang hingga 10 malam.

Mamat memberitahu, pementasan teater ini mampu menjadi kesinambungan terhadap naskhah filem HKL sebelum ini.

"Harapannya adalah untuk HKL dinikmati oleh semua sehingga masa akan datang seperti adaptasi filem ke teater lain di seluruh dunia," katanya.

Mengenai karakter pelakon yang dicari, Mamat berhasrat memilih pelakon baru daripada pelakon popular untuk membintangi pementasan teater ini nanti.

Mengikut syarat-syarat yang dinyatakan dalam poster ujibakat pementasan teater itu, mereka yang mahu mencuba nasib perlu mempunyai bakat menyanyi, menari dan berlakon.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Shaw