Juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), Azharina mengakui insiden yang berlaku kepada Zamani pada pentas konsert minggu kelima GV5 baru-baru ini lumrah dalam pertandingan.

Kata Azharina, dia terlebih dahulu berpesan kepada pengurusan Zamani agar sentiasa mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal sebelum berentap dalam GV.

"Adat bertanding mesti ada menang kalah. Sebagai salah seorang yang pernah terlibat saya rasa ini perkara normal dalam pertandingan tetapi dugaan GV memang takkan ada orang tahu kecuali yang menyertainya sahaja.

"Muntah darah, suara tak keluar itu perkara normal! Sebagai penghibur mahu tak mahu kena telan juga.

"Namun, sebagai rakan artis dan peminat Zamani saya rasa sedih.

"Sejujurnya saya telah berpesan kepada pengurus Zamani, masuk GV bukan hanya mental, tetapi perlu kuat fizikal juga. Ini bukan pertandingan Ratu Kebaya.

"Saya pernah menyaksikan pelbagai situasi belakang pentas terjadi kepada rakan artis ketika GV sebelum ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Lakar Janji semalam.

Pesan Azharina lagi, Zamani perlu memanfaatkan peluang imuniti yang diberikan kepadanya dan mendapatkan rawatan optimum untuk memastikan kadar kesihatannya di tahap terbaik.

"Sembuhkan sakit dahulu sebab jika saya diberikan peluang sebegini, saya takkan sia-siakan!

"Jika saya di tempat Zamani, saya akan pastikan tiga orang doktor menjaga saya untuk menggandakan tahap metabolisma.

"Selain itu, solat istikharah dan minta kepada Allah agar dijauhkan perkara tidak baik," katanya yang turut melalui situasi getir ketika di pentas GV3 sebelum ini.

Minggu lalu, Zamani yang diberikan tugas menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta tumpas di tengah-tengah pentas apabila peti suaranya rosak.

Berbekalkan kuasa imuniti daripada penaja utama GV5, Datuk Seri Aliff Syukri, Zamani layak untuk bertanding pada minggu keenam Ahad ini.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.