Penyanyi Amir Jahari mengakui dirinya mengalami kemurungan sejak lima tahun tahun lalu.

Menurut Amir, dia pernah hilang kewarasan akibat kemurungan yang dialami sehingga membuatkan dirinya hilang arah untuk meneruskan kehidupan.

"Sepanjang lima tahun terakhir ini, pelbagai perkara berlaku dalam hidup saya sehingga membuatkan saya alami kemurungan yang teruk sekali.

"Saya juga pernah hilang pedoman dan seperti orang gila kerana tertekan dengan masalah yang berlaku dalam hidup saya.

"Akibat tekanan yang dihadapi saya juga pernah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung kerana terlalu kecewa dengan industri dan agu saya kurang mendapat sambutan.

"Namun saya bersyukur kerana rakan saya AG Coco datang memberi semangat untuk saya terus berkarya dan saya anggap apa yang terjadi itu mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi lima tahun lalu," katanya kepada Gempak.

Amir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya Siang dan Malam, di Dapo Puro, Bukit Puchong, pada Selasa.

Album Siang dan Malam menampilkan tujuh lagu dan dijual dalam bentuk album fizikal di media sosial miliknya.

Sementara itu, Amir akan muncul dengan showcase sulungnya pada 10 November ini di Live Fact, Damansara.

Tiket berjumlah RM50 yang dikenakan sebagai bayaran adalah termasuk cakera padat album baharunya.