Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz tetap meneruskan rakaman dan muzik video lagu tema perkahwinannya meskipun rancangan perkahwinan sebelum ini sudah dibatalkan.

Zulin yang lengkap berbaju perkahwinan hari ini berkata muzik video tersebut akan ditayangkan khas menerusi akaun YouTube pada 3 November ini.

“Saya harap tiada salah faham sebab saya sudah terangkan sebelum ini.

“Hari ini saya merakamkan muzik video lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya oleh saya.

“Lagu tema perkahwinan saya ini pada awalnya untuk memberi kejutan pada bakal suami saya tetapi kita merancang Tuhan yang menentukan.

“Kenapa saya masih teruskan? Ia bukan lagu single saya tetapi saya hanya mahu simpan di dalam YouTube sebagai pengalaman yang pernah berlaku dalam hdiup saya ini untuk divisualkan dalam muzim video.

“Ini bukan gimik kerana saya tidak mendapat apa-apa untung pun dari muzik video ini dan jelas saya bukan penyanyi.

“Saya harap lagu ini bakal memberi inspirasi dan semangat kepada wanita yang masih single seperti saya kerana ia ibarat doa untuk mereka,” katanya.

Zulin berkongsi perkara tersebut menerusi rakaman live di Instagram (IG)nya tengahari tadi.

Bagaimanapun Zulin tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu mengguris hati banyak pihak.

“Jika dilihat hari ini tiada seorang pun ahli keluarga saya yang hadir kerana jika mereka ada sudah tentu mereka bersedih terutama ibu saya.

“Saya tidak dapat jelaskan lebih lagi kerana saya perlu menjaga hati ramai pihak,” katanya lagi.

Pada awal bulan ini, Zulin mendedahkan perkahwinannya terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana hubungannya dengan seorang jejaka gagal dan putus di tengan jalan.