Penyanyi dan penulis lagu, SonaOne, 29, berkongsi pengalaman ketika bekerjasama dengan Alif dalam menghasilkan single terbaru mereka berjudul Obvious yang dilancarkan jumaat lalu.

Menurut SonaOne, dia berasa selesa sepanjang bekerjasama dengan Alif kerana mereka mempunyai keserasian dan saling membantu antara satu sama lain.

"Saya sangat selesa bekerjasama dengan Alif, walaupun kadang-kadang ada juga masa kami tidak serius, tapi segala kerja dapat dilakukan dengan baik.

"Pernah satu ketika, ketika kami mencari idea untuk beberapa bahagian dalam lagu ini, tiba-tiba Alif dapat idea ketika dia sedang tidur.

"Dia terbangun dari tidur dan beritahu dia sudah dapat idea, saya pun hairan," katanya kepada Gempak.

Obvious diterbitkan dan ditulis bersama oleh mereka berdua.

Single ini menerima adunan bertaraf antarabangsa dimana ia mendapat sentuhan dari Jimmy Cash di Cha Ching Studios North Hollywood, California dan juga calon Anugerah Grammy, Chris Athens di Chris Athens Masters Austin, Texas.

Obvious ini boleh didapati secara streaming dan boleh dimuat turun di semua platform bermula Jumaat lalu.