Penyanyi, guru muzik dan bintang program Big Stage, Sissy Imann, 23, disunting menjadi artis di bawah syarikat rakaman penyanyi tersohor, Faizal Tahir iaitu Faithful Music.

Menurut Sissy, dia menerima tawaran terbabit sebelum memasuki pertandingan Big Stage.

"Sebenarnya, saya telah disunting sebelum memasuki program Big Stage lagi namun ketika itu masih di bawah naungan syarikat lama.

"Ketika program Big Stage berjalan, kami masih dalam perbincangan dengan pihak Faithful.

"Justeru selepas tamat program tersebut, saya menandatangani perjanjian bersama syarikat rakaman tersebut," jelasnya.

Sissy berkata demikian ketika ditemui di program Big Stage Unplugged bertempat di Union Roastery, Citta Mall pada Sabtu lalu.

Dalam perkembangan lain, Sissy dalam proses menyiapkan sebuah lagu OST filem yang akan ditayangkan pada tahun depan.