Pelakon filem Bisik Pada Langit, Erwin Dawson merancang untuk menamatkan zaman bujangnya bersama aktres Julia Farhana tahun hadapan.

Namun, Erwin, 29, menjelaskan dia perlu mengutamakan keluarganya terlebih dahulu sebelum sampai urusannya untuk mendirikan rumah tangga bersama tercinta.

"Buat masa sekarang kami 'go with the flow' dahulu, kalau boleh nak cepat dan harapnya tahun hadapan.

"Kalau boleh nak berkahwin selepas selesai segala urusan ibu saya untuk mengerjakan umrah pada awal tahun hadapan.

"Untuk menyatakan tarikh spesifik rasanya belum ada lagi. Takut nanti orang akan letak pelbagai ekspektasi.

"Lagipun, saya perlu bincangkan perihal kewangan dengan Julia sebelum kami mendirikan rumah tangga," katanya.

Sementara itu, jelas Erwin, dia sudah bertemu ibu kepada pelakon itu yang secara tidak langsung telah mengikat tali pertunangan mereka beberapa bulan lalu.

"Daripada segi agama Islam, saya sudah bertemu dengan ibunya dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Julia.

"Kiranya, kami sudah buat perjanjian dan sudah bertunang.

"Saya pun tak tahu kenapa orang asyik bertanyakan tentang hal itu sedangkan majlis bertunang itu sebenarnya adat," tambahnya.

Erwin ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2018 tercalon menerusi dua buah filem lakonannya iaitu Bisik Pada Langit dan Pulang.