Usaha mengangkat karya seni kepada khalayak bukan hanya bersandarkan tayangan filem semata-mata tapi pelbagai program bersifat apresiasi yang memperlihat bakat pelajar adalah suatu yang patut diberi tumpuan.

Agenda ini diteruskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) yang menganjurkan acara Minggu KaryaONE 21 tidak lama lagi.

Acara ini menjadi platform mencungkil bakat pelajar sama ada menerusi penerbitan video pendek dan animasi serta persembahan teater.

Menariknya, pada tahun ini menyaksikan 16 program dirancang untuk memeriahkan acara tahunan ini antaranya Wacana Seni Bersama Pemimpin pada 4 Disember dan 'FiTA Cosplayer: Creative Costume Play' (5 Disember) yang disertai pelajar FiTA bertujuan mempromosikan sub-culture dan mengasah kreativiti mereka dalam menggayakan kostum mengikut karakter anime kegemaran masing-masing.

Sebelum ini, dua pelakon popular iaitu Namron dan Bront Palarae dijangka hadir pada program Wacana Filem. (Baca lagi: Namron Bersama Bront Palarae Kongsi Pengalaman Sebagai Anak Seni Menerusi Minggu KaryaONE 21)

Tidak ketinggalan, program Malam Promosi Filem 'Wheely' turut diadakan sebagai projek mahasiswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Industri Kreatif (Kepujian) Skrin di bawah keperluan kursus CTM644 Film Distribution and Exhibition.



Program 'Clash of Talent' (5 Disember) pula diwujudkan sebagai mencungkil bakat terpendam dalam kalangan warga UiTM khususnya pelajar sama ada dalam bidang nyanyian, tarian mahupun bakat tersendiri.

Pencapaian FiTA dalam industri hiburan tempatan bukan saja menyediakan graduan berkebolehan tapi merupakan fakulti seni terbesar di Asia Tenggara yang juga fakulti pertama sebagai perintis program pengajian di universiti yang menekankan aspek pengajian dua tahun di universiti manakala setahun bersama industri.

Justeru, satu program iaitu MoU Bersama Industri akan diadakan pada 6 Disember nanti untuk memeterai memorandum persefahaman antara FiTA bersama syarikat-syarikat dan institusi terpilih dalam bidang industri kreatif sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Sudah tentu, kemuncak acara ini iaitu FiTA KaryaONE Awards 2018 diadakan pada 7 Disember jam 8 malam untuk meraikan hasil kerja pelajar FiTA menerusi pengiktirafan anugerah dan ia juga dimeriahkan dengan kehadiran ramai selebriti popular tanah air yang memberikan sokongan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook @karyaonefita