Pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat mengimbas kembali pengalamannya menjayakan karakter gadis pekak dan bisu menerusi telefilem Aku Nazmi.

Aku Nazmi merupakan karya terbitan syarikat JS Pictures milik pasangan selebriti, Sheila Rusly dan Azman Yahya.

"Saya menjayakan watak Ilya, seorang gadis yang tidak boleh mendengar dan bercakap. Watak ibu yang dijayakan oleh Sis (Sheila Rusly) juga sama, tidak boleh mendengar dan bercakap.

"Pada awalnya, ketika menghadiri kelas bahasa isyarat, saya hampir putus asa untuk menjayakan watak ini. Bayangkan, betapa sukarnya untuk mereka berkomunikasi tanpa bersuara atau mendengar.

"Ada kalanya saya rasa seperti mahu memulangkan semula duit bayaran lakonan yang telah Sis berikan kerana cabaran yang dilalui betul-betul sukar. Namun begitu, saya tabahkan hati dan menggalas tanggungjawab yang diberikan," katanya.

Ayda ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2018 di The International Gallery at Alya, Bukit Kiara semalam.

Tambah pelantun lagu Nakal Nakal Nakal ini, dia gembira selepas membaca respon orang ramai yang memuji karya Aku Nazmi.

"Alhamdulillah, hasilnya positif. Ramai yang memberikan maklum balas, mereka menggemari karya yang saya kami lakonkan dan ada yang berterima kasih kerana kami mengangkat tema sebegini untuk diceritakan kepada umum," katanya lagi.

Aku Nazmi tersenarai sebagai calon bagi kategori Drama Terbaik untuk Anugerah Skrin 2018.

Anugerah Skrin 2018 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, 2 November ini pada jam 9.00 malam dan disiarkan di TV3.