Pernah gagal dalam ujibakat program realiti, Akademi Fantasia suatu ketika dulu dan terpaksa melupakan karier seni 10 tahun lalu tidak mematahkan semangat penyanyi Farra Umyra untuk kembali semula.

Bagi penyanyi berusia 30 tahun ini, impian menjadi penyanyi sejak zaman sekolah tetap diteruskan.

Farra mengakui dia mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian sehingga mengambil peluang menjadi artis rakaman.

Bercerita pengalaman lalu, dia juga menyatakan pernah aktif mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan nyanyian dan persembahan di luar.

Mungkin ada yang perasan kehadiran Farra dalam bidang seni apabila dia pernah bekerjasama dengan Eddie Hamid dan menghasilkan dua lagu pada tahun 2008.

Bagaimanapun, Farra terpaksa melupakan hasrat untuk mempromosikan lagu tersebut selepas mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur ini kemudian kembali menerusi single terbarunya, Hancur Dalam Waktu ciptaan Laq dan Hang Nadim sebagai penulis lirik.

Sepertimana impiannya mahu kembali ke arena seni, dia juga tidak menyangka lagu berentak pop balada ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat menerusi platform YouTube.

Lagu tersebut yang dimuat naik pada April lalu sudah ditonton lebih setengah juta pelayar hanya kurang daripada sebulan.

"Saya mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk membantu merealisasikan impian bergelar anak seni profesional pada masa hadapan," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @farra_umyra